
Bersama peserta-peserta yang sama-sama menyertai Kursus Mutawwif dari seluruh negara.
Hayatilah Kehidupan Dengan Seadanya Ketika Senang atau Susah. Kehidupan tidak sewajarnya dipersiakan. Ceria-cerialah selalu dan hayatilah kehidupanmu
Setiap peserta diberikan 'Negara' untuk diwakili. Nampaknya pada perujian kali pertama ini, Qari dan Qariah Malaysia telah memenangi setiap kategori.
Diharap semua pelajar yang mengikuti kelas Taranum ini terus bersemangat mengikutinya bagi tujuan mengimarahkan semangat Al-Quran. Sebagai koordinator kelas, saya turut berbangga dengan peningkatan setiap pelajar.
Sampai di ruang solat anak-anak telah usai solat, maklum kami lambat terjaga. Mereka meneruskan zikir, tahlil dan tahmid ma’thurat dengan lancar dan hafal. Segan pada diri sendiri yang hanya lancar beberapa ayat, kemudian bergabung dengan mereka mengaminkan doa-doa mereka.
Anak-anak membina bulatan besar. Majlis ta’aruf pagi itu terpaksa diadakan ringkas kerana anak-anak akan ke sekolah (mereka bersekolah 6 hari seminggu). Kami disuruh memperkenalkan diri, berbicara seadanya dan menyampaikan pesan; belajar bersungguh-sungguh, carilah ilmu kerana hanya dengan ilmu manusia beriman, mendorong ikhtiar, membuahkan rezeki. Mencari harta, berinfaq membantu yang dalam kesusahan. Hanya dengan ilmu kita membina kukuh jambatan siratul mustaqim menuju syurga. Akhirnya kami bersalaman, berdakapan, menikmati keindahan mata jernih anak-anak yang 90% adalah anak yatim konflik GAM dan selebihnya nak-anak mangsa tsunami.
Siang itu para ibu-ibu bergegas menyiapkan dan menyusun hadiah dan sumbangan untuk sukaneka dan acara persembahan santri pada malamnya. Bapa-bapa pula sedari subuh menyembelih lembu Aqiqah sumbangan Kak Rasiah untuk dimasak dibelakang rumah. Seusai menyiapkan hadiah kami ke belakang rumah Al Raudhah melihat persiapan mereka masak. Kelihatan luas tanah itu agak besar juga , lebih dari seekar. Di halaman ada pohon-pohon buah menyusun rendang menciptakan redup. Jauh disisi sempadan kelihatan ada bukit memberikan laluan angin sejuk lembut membawa suasana aroma rumput hijau. Dan dibalik bukit itu pula tersimpan sejuta derita luka. Kisah perjuangan panjang anak bangsa merebut tanah pusaka.
Kami diberitahu tanah itu dibeli sepenuhnya oleh seorang individu empunya BIT sebuah perusahaan IT dari Bangi Malaysia. Manakala pengurusan dan operasi dijalankan bersama PKPU (Pos Keadilan Peduli Umat) dari Indonesia dan ISMA dari Malaysia. BIT menyumbang RM10,000 setiap bulan untuk kos penyelenggaraan Al Raudhah, persekolahan santri, membayar gaji pekerja dan belanja makan minum.
“Dia telah membina jembatan kukuh “.
“Jembatan apa ayah”. Sikecil Ahmad menanyakan ayahnya Pak Hanan. “ Nanti ayah ceritakan”, ayahnya berjanji. Namun kemudian, perlahan Pak Hanan mengungkapkan “Jembatan Siratul Mustaqiim”.
Makanan hampir masak. Kami berselera mencicipi masakan enak yang rempah ratusnya dibawa sendiri oleh chef Pak Junet dari Malasyia. Emm.. enak sungguh, maklum lembu baru disembelih. Di Al Raudhah aku seakan segan dijamu air kelapa muda yang di hirup terus dari buahnya…
Usah fikirkan
Segeralah tuangkan
Basahi tekak kita yang kehausan
Basahi jiwa kita yang kekeringan
Ziarah ini begitu mengasyikkan…
Anak-anak santri pulang dari sekolah, berlari ceria menuju hamparan. Sungguh, anak-anak itu adalah anak yang terjaga dan terdidik mulia oleh ustaz dan ustazah mereka. Wajah ceria, mata bercahaya segera bertegur sapa bersalaman dan bermesra. Suasana menjadi riuh dengan canda dan gurau senda. Makanan dijamah berselera. Kari lembu dan sarbat dingin jus mentimun. Nikmat rezeki di tanah Al Raudhah yang berkah ini.
Ba’da zohor, anak-anak sudah siap sedia menaiki lori kecil untuk ke pantai berlibur dan untuk acara sukaneka. Kami pula dengan labi ke bandar Lhoksemawei dulu kerana ingin membeli oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.
Kemudian sesampainya kami di pantai untuk bergabung dengan mereka, adalah kelihatan satu pemandangan yang menakjubkan. Mata aku tertumpu pada barisan-barisan saf anak-anak santri bersolat ‘Asar di tepi pantai. Manakala 2 -3 orang laskar berdiri tegap mengawasi seolah mengawasi barisan pejuang dimedan perang. Aduhai, kapan lagi akan ku perolehi senario seperti ini…
Pesta sukaneka berjalan lancar penuh ceria gelak ketawa. Apa yang tersanjung dihati ku adalah santri-santri ini akan tetap tegar berbusana lengkap sehingga tiada satu celah pun aurat mereka yang tidak tertutupi. Tidak tampak tanda rimas atau tidak selesa pada wajah mereka. Malah mereka polos, naif tapi cerdik. Hadiah pun disumbangkan pada semua pemenang juga yang tidak menang. Sorak tawa gembira mengumandang, melambung ke angkasa, luruh semula ke bumi, berserakan, menimpa, membekas kedalam lubuk jiwa.
Malam itu, seusai majlis pidato, ucapan, tarian dan persembahan anak-anak santri, mereka diberi pula sumbangan dari TM dan sumbangan ikhlas dari staff TM. Malam ceria perlahan sayu. Rombongan ziarah TM bersiap untuk pulang meninggalkan mereka. Anak-anak santri berwajah sepi, ibu-ibu2, bapa-bapa2 penziarah pula bertambah hiba. Bicara Selamat Tinggal dipersembahkan, do’a dan harapan dibekalkan. Salam bersambut, pelukkan tak terlepaskan, air mata kembali bergenang. Perpisahan menyentuh jiwa.
Selamat Tinggal Al Raudhah,
Selamat Tinggal Lhoksemawe!
Sesampai di Bandar Acheh rombongan bersolat di mesjid karamah, mesjid Baitur Rahman yang gah itu. Bersujud mempersembahkan syukur. Berhenti seketika beramah mesra dengan beberapa jemaah, memperkenalkan diri dan bersilaturahim. Mereka bercerita tentang tanah pusaka mereka yang dilanda bencana. Sesudah gempa itu, mereka dilanda pula ombak hitam. Umpama luka baru disayat diatas luka lama. Allah yang menciptakan segala makhluknya di langit dan di bumi. Dia menciptakan siang malam, gembira nestapa dan Dia memberi, Dia pula akan mengambilnya. Doakan bersama, redhalah akan segala ketentuanNya, sabar atas segala dugaanNya dan syukurlah atas segala nikmatNya…
Sebelum kami dijemput ke rumah Dr Rina Juwita isterinya Pak Hidayat untuk bersarapan kami melihat sekitar mesjid dan bergambar kenangan. Kami dihidangkan nasi goreng berlauk ayam merah dan air teh. Kedua suami isteri adalah aktivsi PKPU, manakala Pak Hidayat masih lagi menghabiskan Mastersnya di UKM. Jasa dan pengorbanan mereka pada anak bumi Acheh tidak terbandingkan.
Dalam penerbangan Air Asia untuk kembali ketanah air tercinta, sepi bergelut didada. Kapan lagi akan bertamu ke bumi tanah rencong itu. Mencermati bait bicara dalam buku “Fathimah Az Zahra, Mohammads beloved daughter and ‘mother’” oleh Muhammad Abduh yang dibeli pada akhir perjalanan di Acheh, air mata ku kembali bergenang.
… dan rindu pun menggumpal teringatkan gemuruh ombak di pantai Lhoksemawei.
Nota: Pak Hidayat dan Mbak Nadira, maafkan jikalau ada fakta yang tidak tepat atau ada keterlanjuran bahasa. Terima Kasih.